-

Wednesday, August 6, 2008

Apabila hati jadi batu (Siri 2)

Mata aku mula berkaca. Mendongak ke atas. Apa yang dilihat semua manusia dapat juga aku lihat. Iaitu awan yang berbondong-bondong. Kadang-kadang burung yang berterbangan rawak sedikit menggugat pandangan awan. Akan tetapi, mengapa yang aku rasa tidak ada manusia rasa. Tidak adilkah pencipta?

Mengapa? Mengapa perasaan ini hanya untuk aku? Apakah benar hatiku telah menjadi batu?
Tidakkah ada insan lain yang berhati batu? Berhati batu seperti aku?

Air mata mula berjejeran membasahi pipi. Pipi yang pernah ditampar. Pipi yang pernah di sepak. Pipi yang berada pada wajah yang penuh cemuhan, ejekan dan kata-kata kesat manusia. Manusia yang berhati batu. Apakah mereka berhati batu atau aku yang berhati batu.

Hati aku sudah menjadi batu!

Longgokan sampah umpama tilam empuk di jadikan tempat beradu. Celah-celah tiang jambatan umpama kerusi malas yang setia menahan keletihan belakang. Gumpalan kertas umpama bantal kekabu yang sedia menerima kunjungan kepala yang ingin parkir. Tidak dapat ku bayangkan. Bagaimana kehidupan hari esok. Dapat tidur bertilam empuk lagikah? Dapat menyandar di kerusi malas lagikah atau bantal kekabu, itukah tempat parkir kepalaku di kala waktu tidurku nanti?

Setelah malam menguasai. Suasana kelam tapi sedikit kelabu dengan biasan lampu jalan. Asap kenderaan tidak mengenal waktu. Masih menyerut ke hidung. Menjadi sedikit rimas. Mengganggu tidur yang pingin. Namun, hilang sejenak entah ke mana.
Pagi tanpa segan-segan melabuhkan tirainya. Diikuti cahaya matahari yang mula menerjah alam melata. Menyilaukan mata. Pandangan aku yang berkabut semakin jelas. Walaupun begitu, mata masih malu untuk membuka melihat kelibat manusia yang lalu lalang. Masing-masing berkejaran. Ada yang berkejaran ke hulu dan ada juga yang berkejaran ke hilir. Nampak sibuk sekali mereka.

Butakah mereka semua yang lalu-lalang? Aku yang masih tercongok satu tempat mengusapkan mata, tidak mereka endahkan! . Pakaian lusuh yang compang-camping dibetulkan agar nampak kemas. Walaupun tidak kekemas mereka yang lalu-lalang itu. Orang ramai pasti memerhati aku nanti. Jadi, aku mesti dalam keadaan kemas. Sentiasa bukan untuk sekali. Baru aku bangga, hmmm.... rambutku pula bagaimana?

1 comment:

Khairi Mohd said...

ni hati batu ke orang gile. ooo patut la duk dlm bilik menaip senyap2 hahaha kantoi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...