-

Friday, March 26, 2010

Cinta Al-Hafiz (Episod 2)


Bunyi kereta jentolak menderam. Membingitkan suasana. Bunyi bising yang kuat itu serta merta menenggelamkan suara burung-burung yang berkicauan. Mencengkam setiap anak telinga yang mendengarnya. Itonasi bunyi yang tinggi mencelah lalu menyelingkar di ruangan angin kemudian memenuhi segenak ruangannya. Kadang-kadang memaksa tangan untuk menekup kedua belah telinga. Seakan bunyi tidak puas hati, marah dan geram terhadap perbuatan manusia yang menebang pokok memusnahkan hutan rimba. Hutan yang mempunyai sejuta macam kehidupan. Kehidupan yang belum sepenuhnya diterokai oleh manusia. Tapi ada satu kehidupan makhluk yang sudah berzaman mereka cerobohkan. Iaitu pokok-pokok balak!. Tanpa belas kasihan batangnya di tebang. Kelihatan di pinggiran bukit gua musang di Kelantan. Kelantan darul naim indah nama begitu juga negerinya.

Berkeliaran buruh-buruh balak yang sedang melaksanakan tugas masing-masing. Sibuk sungguh mereka!. Ada yang sedang memotong dahan pokok balak. Ada juga yang sedang berbual sambil minum air kerana kehausan sudah dirasai di kerongkong. Ada juga yang bercangkung di atas batang kayu balak sambil mengibas-ngibas dengan tuala kecil. Mungkin keletihan telah mencengkam seluruh urat saraf akibat penat bekerja. Keadaan hutan yang tebal, apabila didongak ke atas akan kelihatan sayup dedaun pokok-pokok yang berpautan menjulang tinggi ke langit. Bunyi jentera masih lagi kuat. Masih lagi mengganas. Kelihatan pula di satu sudut longgokan kayu balak yang sudah di tebang di biarkan berselerak. Ada yang melintang dan ada juga dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Di dalam kumpulan pekerja buruh yang agak ramai itu ada di antara mereka yang rajin membuat kerja. Wajahnya tenang walau agak berkedut akibat dimamah usia. Perubahan yang pasti bagi seseorang yang berada di separuh abad. Begitulah lumrah alam, usia tidak boleh diubah hanya boleh berubah. Seperti berubahnya sistem penomboran. Nombor satu dicampur satu akan menjadi dua dan begitulah seterusnya. Walaupun sedemikian, dia sentiasa ringan mengukir senyuman di bibir kepada rakan-rakan. Kan senyuman itu merupakan sunnah Nabi. Bertepatan dengan sifatnya yang berpegang teguh kepada agama. Malah sedikit sebanyak dicontohi rakan. Secara tidak langsung itulah yang diharapkannya. Itu lah sifat yang tersedia diasah dan diasuh dalam diri Aiman dan Izhan, anak kesayangannya. Namun di sana ada juga segelintir pekerja yang tidak senang dengan keberadaannya.

Makna sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Anak-anak dilahirkan dalam keadaan fitrah(suci). Maka ayah merekalah yang akan mencorakkan sifat mereka. Ayah merekalah yang akan menjadikan anak mereka yahudi, majusi dan juga nasrani”.

Pak soh mengelamun di birai pintu rumah sewa yang sudah usang. Berderetan mengunjur ke arah timur selari dengan tebing yang sederhana tinggi. Kedapatan rumah-rumah kayu yang sederhana kecil yang boleh memuatkan 3 orang dalam satu masa. Lebih kurang 15 buah semuanya. Ruang rumah memang kecil tapi memadai untuk merehatkan tubuh. Sepasang mata Pak Soh masih asyik melihat kerdipan bintang-bintang seolah manik-manik yang bertaburan bersinar menghiasi wajah malam yang gelap gelita. Di ruangan kosong tanpa lindungan pepohon. Sungguh cantik dengan kerlipan cahaya pasti akan menambat hati mereka yang melihatnya.

“ Hei..jauh nampak mengelamun. Teringatkan anak isteri ke” usik Leman yang datang tiba-tiba dari arah belakang. Leman dah jadi hobi mengusik orang. Lebih-lebih lagi jika berseorangan. Pasti diusiknya.

“ Ye aku teringatkan sangat telatah anak aku yang sorang tu..nakal! tapi otaknya cerdik” ujar Pak Soh sambil mencari ruang di tepi dinding untuk duduk. Lalu di lujurkan kedua kakinya.

Sebulan sekali Pak Soh telah menjadualkan dirinya untuk balik kampung. Kadang-kadang terlebih juga sampai sebulan setengah. Dah tanggungjawab seorang suami kepada seorang isteri dan seorang ayah kepada 2 orang anak. Dua-dua lelaki.

“ Leman yang engkau ni tiba-tiba je muncul, dari mana?” Tanya Pak Soh semacam bersungguh sedikit.

“ Tak ah aku dari rumah depan tu rumah Abu” jawabnya selamba.

“ Buat apa…kau kat sana?” Pak Soh Nampak bersungguh ingin tahu.

“Tak de pe saje je aku boring dok kat rumah, aku pergi menyebuk rumahnya pahtu boring kat rumah dia aku mai rumah kau pulak” Leman menjelaskan kemudian dia naik bertenggek di penjuru dinding rumah Pak Soh.

“ Pak aku nak Tanya sikit boleh” tiba-tiba je Leman menyuarakan satu pertanyaan yang sedikit sebanyak membuatkan wajah Pak Soh berkerut campur hairan. Leman seorang pemuda berumur sekitar 20 an. Baik orangnya cuma agak lembab sikit kalau ingin melaksanakan sesuatu kerja. Sudah berkeluarga tapi belum memperolehi rezeki cahaya mata, walaupun sudah memasuki 2 tahun di alam perkahwinan. Mungkin rezekinya belum lagi sampai.

“ Apa dia” Pak Soh ingin kepastian.

“ Gini Pak Soh, esok kan hari rabu jadi lusa hari apa?” memek muka Leman bersahaja sambil menahan daripada gelak. Dia mula menundukkan kepala lalu mengalihkan ke arah lain.

“ Hai Leman Leman tak habis habis nak buat lawak ngan aku, kan aku singgahkan kat kepala kau satu penumbuk baru kau tau bagaimana sedapnya rasa” Pak Soh memandang sisi Leman sambil menggelengkan kepala. Leman sudah mula lemah dari menahan kuasa gelaknya. Lalu tersembur keluar. Ha ha ha…

Leman memang tidak sah dalam sehari sekiranya tidak mengacau Pak Soh. Tapi Pak Soh tak ambil kisah sangat dengan perangai si Leman ni. Sehari demi sehari berlalu. Hari ini 1 haribulan esok pula 2 dan 3 begitulah seterusnya. Manakala pokok yang lahir dari benih lalu tumbuh sekaki dan meningkat tinggi sehingga menjulang ke awangan. Tanpa ada kuasa yang mampu menahan makhluk ini semua untuk terus hidup kecuali Allah yang Maha Esa. Sebagai manusia yang hidup teruskan hidup ada pula yang sudah meninggalkan kita. Makhluk lain juga tidak terkecuali daripada kematian. Sekarang, pejam celik pejam celik dah nak genap sebulan. Apabila masuk bulan Mac nanti maknanya sudah 5 tahun Pak Soh bekerja di dalam hutan. Hutan menjadi tempat Pak Soh mencari rezeki sekeluarga. Walaupun hidup tidak senang namun hati Pak Soh sentiasa tenang. Setenang alur di pinggir muara. Air yang beralun-alun bak kain sutera yang di kibar lembut. Pada akhir bulan nanti Pak Soh akan balik ke kampung. Kampung Petai berjuntai. Melempias rindu yang sudah lama berbekam di dada.

Terngiang-ngiang di benak Pak Soh ketika Aiman berlari-lari mundar mandir ke hulu ke hilir yang menghangatkan keadaan dengan bisingnya. Tempikan suaranya menusuk kalbu apabila di kacau oleh abangnya Izhan. Bab kata rumah akan menjadi suram jika ketiadaan mereka berdua. Tiada keceriaan!

Keadaan Leman sudah kembali kendur. Suara gelaknya sudah lenyap. Kemudian tangannya menyelongkar poket belakang seluar untuk mendapatkan sesuatu. Dah sah rokok la tu. Memang tepat sangkaan Pak Soh Nampak sebungkus rokok dunhill warna merah yang sudah ronyok di pegangnya. Lalu dikeluarkan sebatang dinyalakan api dan menghisapnya. Berkepul-kepul asap meluru keluar dari mulut Leman. Tidak dikisahkan Pak Soh walaupun rokok sememang pantang baginya. Kenapa tidak, kan membazir dengan membeli rokok. Cuba bayangkan setiap duit yang dikeluarkan untuk rokok dikumpulkan lalu disedekahkan kepada orang miskin kan dapat pahala.

“ Leman akhir bulan ni kau tak balik kampung ke” Pak Soh memulakan bicara dengan Leman masih asyik mengepulkan asap rokok sehingga melahirkan gegelung kecil lalu pecah bertaburan di udara.

“ Entahla pak Soh” Leman mengangkat sedikit kedua belah bahunya.

“ Kau tak rindukan isteri kau ke” Pak Soh menyambung lagi pertanyaan semacam tidak puas hati dengan jawapan Leman.

“ Rindu usah cakapla Pak Soh dia kan isteri saya, mestilah saya rindu. Tapi…” Ucapannya terkedu. Bisu seribu kata. Matanya memandang tepat ke muka Pak Soh yang sudah kelihatan sedikit kusam. Memerhati ke arah Leman. Dengan pemerhatian yang inginkan cepat jawapan.

“ Tapi apa Leman…cuba bagitau ke Pak Soh”

“ Errr…tapi tapi…tapi memang saya akan balikkk…ha ha ha..” Leman mula ketawa lagi berbahak-bahak sambil menepuk-nepuk bahu Pak Soh. Mukanya berkerumu dek kuat ketawa. Mata sedikit tertutup dan sedikit berair.

Leman…Leman…Pak Soh menggelengkan kepalanya perlahan. Nak aku juga ketawa nampak bodoh pulak. Lantak kau lah Leman dah ketawa tu hobi kau. Ketawa ketawa dan ketawa.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...